“Abang, saya rasa suami saya dah kena minyak dagu. Dulu sayang sangat, sekarang dingin dan berubah terus.”
Ini petikan sebenar yang penulis terima dari seorang isteri berusia 39 tahun melalui mesej di Instagram.
Permulaan: Bila Cinta Hambar, Minyak Dagu Jadi Solusi?
Ramai pasangan suami isteri hari ini berdepan krisis rumah tangga seperti pasangan berubah hati, cinta makin pudar, komunikasi makin renggang. Bila semua usaha gagal, ada yang sanggup mencuba jalan terakhir yang misteri: minyak dagu.
Bahkan, ada sampai yang sanggup bertukar pasangan (cuckold) sehingga pasangan dan anak-anak mereka dijangkiti penyakit AIDS dan HIV.
Minyak dagu bukan sekadar mitos dalam filem atau cerita orang kampung. Ia masih dipercayai dan diamalkan oleh segelintir masyarakat termasuk golongan berpendidikan.
Soalannya sekarang: adakah itu jalan penyelesaian sebenar?
Dalam artikel ini, kami akan bongkarkan 3 perkara penting berkaitan minyak dagu iaitu:
- Apa sebenarnya minyak dagu?
- Bahaya & risiko sebenar yang ramai tak tahu
- Cara lebih waras & selamat untuk pulihkan rumahtangga anda
Apa Itu Minyak Dagu?
Minyak dagu ialah sejenis minyak pengasih yang dipercayai dibuat daripada lelehan dagu mayat perempuan yang mati tragik dibunuh, digantung, atau kemalangan.
Ia berasal dari kepercayaan mistik Thailand dan dibawa masuk ke Malaysia, khususnya ke negeri-negeri utara seperti Kedah dan Perlis.
Apa tujuan minyak dagu digunakan?
- Ikat cinta bekas suami atau kekasih
- Tundukkan pasangan yang “degil”
- Tarik perhatian orang yang diingini
Realitinya, minyak dagu bukan ubat cinta . Akan tetapi, minyak dagu sebenarnya adalah satu ‘alat’— untuk memanipulasi emosi dan spiritual seorang manusia yang akhirnya boleh membawa kesan yang sangat buruk dalam konteks fizikal (kesihatan) dan mental (emosi).
Kenapa Masih Ada Guna Minyak Dagu?
Berdasarkan pengalaman kami mengendali masalah rumahtangga sejak tahun 2020, majoriti yang menggunakan minyak dagu adalah mereka yang telahpun putus asa dengan pasangan mereka.
Bila hubungan suami isteri mula hambar dan pelbagai usaha yang mengorbankan banyak masa, tenaga dan wang ringgi gagal, maka mulalah episod baharu seperti :
- Ada yang mula tuduh pasangan terkena buatan orang
- Ada pula yang cari jalan menundukkan semula pasangan
Menurut temubual Kosmo (2021) bersama Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman, Penggunaan minyak pengasih atau minyak dagu yang mempunyai unsur sihir dan pemujaan adalah haram selain dilarang dalam agama Islam kerana menjurus syirik kepada Allah SWT.
Petikan:
“Minyak kalau setakat untuk sapu tidak apa tetapi jangan kaitkan kepercayaan, percaya boleh buat itu dan ini kerana boleh menyebabkan syirik. “ – Datuk Abdul Rahman Osman
Hukum Guna Minyak Dagu: Apa Pandangan Islam?
Sebagai orang Islam yang berpegang kepada Al-Quran dan sunnah, anda perlu tahu yang apa sahaja amalan, ritual dan upacara yang menggunakan unsur-unsur mistik, jin dan syaitan untuk capai sesuatu dalam hidup adalah haram hukumnya dalam Islam.
Penggunaan minyak dagu termasuk dalam kategori sihir dan khurafat, dan hukumnya adalah haram secara jelas dalam Islam.
Fatwa Kebangsaan 2009:
“Segala bentuk pengamalan sihir, pemujaan dan kepercayaan karut seperti minyak pengasih, pelaris, penunduk adalah dilarang dalam Islam dan boleh membawa kepada syirik.”
Terkini, kerajaan Negeri Terengganu telah membenarkan kes sihir untuk dibicarakan di Mahkamah Syariah yang bertujuan menghukum segala perbuatan sihir dan yang berkaitan.
Akibat kepada pengguna:
- Dosa syirik (jika sampai memohon kepada makhluk lain)
- Rumah tangga bertambah rosak bila ilmu itu “makan diri
- Gangguan jin dan tekanan mental kepada pengguna dan pasangan
Risiko Guna Minyak Dagu Kepada Hubungan
Barangkali anda melihat minyak dagu adalah alternatif berhaluan kiri untuk memulihkan hubungan anda dan pasangan.
Hakikatnya, minyak dagu akan menambah pelbagai masalah yang lebih kompleks kepada anda, suami dan anak-anak di masa depan.
Minyak dagu tak memulihkan hubungan, malah boleh menambah kebencian dan trauma.
Risiko jangka pendek
- Pasangan mungkin “patuh” tapi jadi lemah dan tidak stabil emosi
- Rasa cinta bukan lagi semula jadi
Risiko jangka panjang
- Gangguan spiritual & mental
- Perasaan bersalah menghantui pengguna
- Hubungan jadi toksik tanpa sedar
Kes Benar:
Kes wanita dari Gombak, Selangor (Harian Metro 2021) — guna minyak pengasih pada suami. Suami berubah jadi pendiam, tak lawan, tapi makin murung dan akhirnya minta cerai. Wanita itu pula alami mimpi buruk, kerap migrain dan dihantui bayangan.
Alternatif Sihat: Pulihkan Cinta Tanpa Guna Jalan Singkat
Daripada guna minyak dagu, lebih baik pilih jalan yang selamat, halal dan berkesan jangka panjang.
a. Kaunseling Rumah Tangga
- Jumpa kaunselor bertauliah (LPPKN, JAKIM atau swasta)
- Belajar semula komunikasi dan keperluan pasangan
b. Rawatan Islam Profesional
- Rujuk pusat rawatan Islam yang tidak menggunakan sihir (contoh: Darussyifa’, Pusat Perubatan Al-Hidayah)
- Rawatan rukyah untuk pulihkan emosi dan spiritual
c. Usaha Pemulihan Diri & Pasangan
- Amal doa-doa kasih sayang untuk mewujudkan suasana harmoni dalam rumahtangga ada menerusi (Surah Al-Furqan:74)
- Jaga kesihatan fizikal, emosi dan seksual
- Sertai komuniti sokongan seperti Komuniti Suami Sihat untuk bimbingan jangka panjang
Penutup : Pilihan Di Tangan Kita
Jika benar kita sayangkan pasangan, usahakan pemulihan dengan ilmu, kasih sayang dan panduan agama. Cinta yang sebenar tak perlu dipaksa dengan sihir atau jin.
Sebagai penulis dan pengamal kesedaran rumah tangga, saya menolak sekerasnya penggunaan minyak dagu dan menyeru semua suami isteri memilih jalan yang lebih suci dan realistik.